Thursday, August 14, 2008

Beza Antara 160 Tahun Dengan 30 Tahun

: Satu dialog di pagi yang hening dalam sebuah bilik mesyuarat production house:


Encik Parawok! Awak nak bandingkan idea awak dengan gabungan idea kami bertiga yang dah lama dalam line ni? Awak tahu tak, kalau ditambah usia kami bertiga ni; bersamaan dengan 160 tahun! Sama dengan pengalaman dan kreativiti berusia 160 tahun! Awak pulak baru nak cecah 30 tahun, baru nak belajar bertatih. Lupakan lah proposal awak yang penuh dengan sampah tu, ikut saja cakap kami”.


Fuh! Itulah lemparan tohmahan yang ku terima pagi ini hasil ’egois’ tiga orang ’penasihat’ khas tempat aku bekerja. Tiga orang yang layak digelar ’the Three Stooges!’.


Siapa mereka?


Selama ini aku sanjung mereka bertiga. Seorang berpengalaman luas dalam bahagian produksi, terutamanya bahagian penerbitan iklan. Seorang layak digelar pengarah kreatif tersohor kerana hasil tangannya sentiasa membuahkan hasil hingga diiktiraf di seluruh dunia. Dan seorang lagi penulis puitis yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan dan sangat berpengaruh. Merekalah idola aku sebelum ini. Kerana mereka lah aku sanggup merombak prinsipku sebagai seorang penulis ’freelance’; menjadi seorang penulis tetap di syarikat aku berkerja kini yang ditambat kreativitinya. Dan kini, mereka menganggap hasil karyaku ibarat tahi yang jijik lagi meloyakan!


Puncanya?


Jika ditanya puncanya; aku sendiri pun hanya mampu menggaru kepala. Setiap karya yang ku tulis, sentiasa diatur rapi untuk memuaskan hati semua pihak. Setiap karya ku sentiasa diolah untuk memenuhi:


a)Kehendak mereka yang menonton.

b)Kehendak mereka yang menilai.

c)Kemampuan teknikal dan kewangan si penerbit.

d) Kemampuan kreativiti mereka yang bakal terlibat dalam hasil imaginasiku ini.


Tapi, ada juga kepala-kepala pemikir yang begitu tolol berkarya mengikut angan-angan, terawang-awang dibuai imaginasi sendiri tanpa memikirkan kehendak semua pihak. Mereka ini berkarya berasaskan konsep semata-mata; yang begitu lantang mengatakan konsep yang mereka cipta merupakan karya agung yang wajib dicerna oleh umat manusia. Hmm.. luarannya mungkin nampak cantik, tapi isinya..hampas!. Dan para pemikir ’agung’ ini aku gelar sebagai ’conceptualizer’.


Dan kini aku berdepan dengan tiga orang ekstrimis yang berpegangkan kepada konsep semata-mata. Tanpa memikirkan risiko penerbitan, tanpa memikirkan bebanan kerja krew produksi, tanpa memikirkan ’over budget’ syarikat. Aku hanya mampu menepuk dahi..sambil tertawa mengenangkan kebodohanku kerana terlalu percaya akan kebolehan mereka.


Bukanlah aku mengkritik berat mereka yang bersifat conceptualizer ini. Ada juga yang berjaya hingga dikenali ramai kerana kebijaksanaan mereka mengadunkan konsep dan cara mereka execute atau melaksanakan projek mereka hingga mudah dicerna oleh semua lapis masyarakat.

Tapi....dengan ’three stooges’ ini... lain pula ceritanya.


Hasilnya?


Sebuah projek penerbitan hasil imaginasiku yang telah diluluskan treatment dan skripnya oleh RTM terpaksa dirombak mengikut imaginasi yang dicipta mereka. Imaginasi yang berpegangkan konsep semata-mata; tanpa mengikut kehendak sang penilai.


’Kita ubah treatment dia jadi drama kanak-kanak’

’Kita tukar semua nama watak’

’Kita jangan pedulikan apa yang RTM nak’

’Kita tukar tajuk yang RTM beri’...


Aku setuju kalau idea ku dibedah untuk kebaikan. Tetapi apabila melihat karyaku dicincang mengikut emosi hinggakan ianya menjadi sebuah drama kanak-kanak yang keras, kaku mengikut treatment 80-an... sekali lagi aku tertawa terbahak-bahak mengenangkan kebodohanku. BAHLUL!


Kesudahannya?


Aku keluar dari bilik mesyuarat tersebut sambil menunjukkan jari tengah kepada mereka dan meminta agar namaku digugurkan daripada ’credit title’ karyaku sendiri. PUAS!


Dan kadang-kadang aku terfikir, pokok yang berusia lebih seratus tahun di Kuala Lumpur biasanya sudah lama ditebang oleh DBKL kerana menganggu keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. HAHAHAHA!

Sunday, August 10, 2008

Satu kematian...

Tanggal 10.08.08... satu kematian hinggap di dalam hidupku.. kematian yang pedih, kematian yang penuh sesalan dan tangisan.. kematian seseorang yang amat kusayangi selama ini... kematian Uwan Teh.

Masih terngiang-ngiang pesanan kakak ku 2 minggu sebelum pemergiannya.. 'Plz tgk gamba terbaru family to Dusun Tua @ my profile...better take SueN along to see uwan teh...skrg musim buah, got durians...bring some food along...uwan teh dah sakit, she's living alone...i don't think she'll be around next year...'

Ya.. aku mengaku itu khilaf aku, tidak mempedulikan pesanan kakakku.. aku terlalu sibuk dengan kerja dan duniawi ku hingga aku terlupa menjenguk dia yang uzur dan sentiasa mendambakan diriku. Aku terlupa yang jauh di sudut hati, diriku amat menyayangi dirinya, cuma egoku menyuruhku melupakan kenangan bersamanya...

Dan kini, airmata darah sekali pun tidak mampu menebus kekesalan ku ini. Masih ku ingat tatkala melawatnya di ICU, melihat badannya yang semakin layu dalam keadaan koma,airmataku jatuh berderai kerana simpati melihat keadaannya yang sedang nazak. Aku tidak sempat meminta maaf atas segala-galanya. Aku tidak sempat berterima kasih atas apa yang diberikannya kepadaku selama ini... sebuah kehidupan yang hangat. Dialah yang membesarkanku, memanjaku dengan kasih sayang tatkala ibuku bekerja siang dan malam membanting tulang mencari rezeki untuk kami sekeluarga.

Dan.. aku tidak dapat mengatakan betapa cintanya aku pada dirinya.. apa yang mampu ku ucapkan 'uwan, jangan mati' 'uwan jangan mati' seolah-olah kata-kata tersebut mampu menjadi mantra untuk menyembuhkan dirinya yang makin nazak.

Ternyata tuhan amat menyayangi dirinya... dia pergi tanpa sempat membuka mata melihat cucu emasnya datang menangis terisak-isak di bucu katilnya meminta pengampunan atas pengabaian yang dilakukan.

Dan sekali lagi airmata ini jatuh berjujuran tatkala memegang cangkul mengambus tanah yang bakal memamah dirinya... aku tidak pernah menangis sejak umurku 12 tahun. Kali ini, biarlah benteng pertahanan hatiku diturunkan buat seketika untuk meratapi pemergiannya..

Kematian ini meyedarkan aku pada satu perkara. Hidup di dunia bukan ditakdirkan berseorangan. Sayangilah mereka di sekeliling mu secara terang-terangan sebelum ajal menculiknya dari dirimu. Jangan angkuh untuk menyerlahkan cintamu pada kehidupan. Kerana kita tidak akan tahu bilakah kehidupan itu akan berakhir..

Teringat aku ungkapan hikmahnya tatkala aku berumur 8 tahun di halaman rumahnya sambil melihat sekelompok merpati..

aku: uwan, kenapa burung-burung merpati jalan ramai-ramai, bukan sorang-sorang.
uwan: Pasal burung merpati pun ada yang laki-laki, ada yang perempuan.
aku: Oooo.. kire dia pun macam kita jugaklah ye uwan?
uwan: Bukan, setiap kejadian tuhan itu dijadikan berpasang. Jadi burung merpati ni kenalah ada kawannya, baru seronok hidupnya.
aku: Kalau dia tetap sorang-sorang jugak?
uwan: Dia akan sesat dan mati...

al-fatihah untuk uwan yang sentiasa kuabaikan, semoga rohnya dicucuri rahmat...



Friday, August 1, 2008

Hidup Si Gundah Gulana..

Malar.Sepi.Kosong.

Itulah yang kurasai tatkala kali pertama menekan keyboard untuk memulakan blog ini. Mereka kata blogging adalah satu cara komunikasi baru antara jiwa. Mereka kata blogging itu merupakan trend yang menggila. Mereka kata blogging itu 'is the way of the walk'. Hmmm.. kita tunggu dan lihat.

Sebelum itu, izinkan aku mengenalkan diri ini kepada kalian semua. Aku seorang penulis cabuk. Aku seorang tukang karut. Aku juga seorang penerbit. Bos membayar ku khas untuk berangan, mencipta konsep, melakar watak, khas untuk penerbitan tv. Itulah pekerjaanku. Itulah periuk nasiku. Mungkin ramai yang mengatakan pekerjaan aku ini seronok. Ya lah, siapa yang tidak mahu dibayar hanya untuk berangan dan merekacipta kehidupan,karakter dan dunia fantasi tersendiri di dalam bentuk tulisan.

Tapi ramai pula yang tidak tahu, semakin dalam kita menjelajahi dunia imaginasi di dalam khayalan, semakin jauh kita terpesong jauh daripada dunia realiti. Dan itulah kenyataannya yang harus dihadapi apabila kalian berkehendak menjadi seorang penulis atau pun si tukang karut. Dan disebabkan itu, jiwaku seringkali kosong,aku dibawa jauh oleh imaginasiku ke alam yang tidak terbatas. Meski pun aku dikelilingi ramai orang, rasa sunyi itu sentiasa mencengkam kerana aku hidup di dalam duniaku sendiri, bukan dengan orang di sekeliling ku.

Dan disebabkan itu, aku seringkali mengalami masalah depresi. Pelbagai ubat dan dadah telah ku cuba. Sebut saja apa namanya, prozac, erimin 5, valium, dehydrocodeine tartrate... semuanya telah ku telan,kunyah,kemam dan minum. Namun rasa hambar itu tetap mendatang. Aku tetap berasa 'sepi' di khalayak ramai.

Nasibku ditaruhkan dengan luahan serta cetusan rasa isi hatiku di dalam blog ini dengan harapan ada insan yang dapat menghargai serta menghayati secebis lakaran kehidupanku.. sama ada yang lepas, mendatang; mahupun sekarang. Inilah jiwa sebenar si penulis cabuk...

-Sekian-